Persaingan kedudukan lima pasukan teratas Liga Super semakin sengit apabila Kedah dan Terengganu sekadar seri 1-1 dalam aksi penuh mendebarkan di Stadium Darulaman, malam tadi.

Tuan rumah masih mampu mempamerkan rentak penuh bertenaga walaupun sekadar menurunkan Sandro da Silva di bahagian serangan sambil dibantu Baddrol Bakhtiar.

Corak hantaran pendek dan pantas yang dijana Kedah menyaksikan beberapa peluang dapat dihasilkan menerusi Baddrol pada minit ke-19, disusuli percubaan Syazwan Zainon yang tepat ke dakapan penjaga gol, seminit kemudian.

Daripada bola tandukan Khairul Helmi Johari, Syazwan melepaskan percubaan ke arah pintu gol pelawat sebelum Baddrol pantas menerpa bagi jaringan pendahuluan pada minit ke-44 buat Kedah.

J. Partiban hampir memadamkan kelebihan Kedah sebelum babak pertama berakhir, namun sepakan lambungnya sekadar menggegar tiang.

Kemasukan Do Dong-hyun jelas mengubah rentak Terengganu dalam separuh masa kedua dan dia nyaris menyamakan kedudukan, namun dinafikan Ifwat Akmal Che Kassim yang turut cemerlang menepis keluar percubaan Igor Zonjic.

Gol penyamaan Terengganu hadir pada minit ke-62 hasil bola muntah tandukan Tchetche Kipre yang mudah ditolak masuk Mohd. Kamal Azizi.

Lang Merah mengasak habis-habisan pada penghujung permainan tetapi nasib tidak menyebelahi mereka, terutama pada minit ke-89, apabila Adib Aizuddin sempat menafikan tandukan Khairul Helmi bagi memastikan Sang Penyu pulang membawa satu mata.

"Mereka telah memberikan yang terbaik, aksi 100 peratus.

"Keputusan ini sedikit mengecewakan, kami sepatutnya memperolehi tiga mata," kata jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff.

Sementara itu, pengendali Sang Penyu, Irfan Bakti Abu Salim, masih tidak berputus asa untuk merebut kedudukan terbaik dengan berkata: "Kami masih tidak berputus asa.

"Kami masih ada dua perlawanan terakhir, bertemu Kelantan di tempat sendiri dan Selangor di laman lawan.

"Jadi, kami perlu cuba memungut enam mata bagi merebut kedudukan empat terbaik untuk menjadi pilihan utama dalam undian Piala Malaysia nanti. Itu penting."