Jurulatih berpengalaman Sabah, Justin Ganai, yang jatuh pengsan ketika mengendalikan sesi latihan skuad Piala Presiden negeri itu di Stadium Likas, Kota Kinabalu, semalam, kini semakin baik.

Jurulatih berusia 63 tahun itu tidak sedarkan diri selepas dikatakan bertembung dengan salah seorang anak didiknya kira-kira jam 5.30 petang, semalam.

Berikutan kejadian itu, Justin dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 2 (QEH2) untuk menerima rawatan lanjut sebelum dibenarkan pulang kira-kira jam 12 tengah malam tadi.

"Terima kasih atas doa kalian, keadaan saya semakin baik dan dibenarkan keluar dari QEH2, jam 12 tengah malam tadi.

"Sekarang saya berehat di rumah atas nasihat doktor.

"Saya masih berasa pening-pening sikit akibat hentakan kuat di kepala selepas bertembung dengan seorang pemain ketika sesi latihan untuk persiapan perlawanan bertemu PJ City FC, petang ini, di Stadium Likas...

"Jangan risau kawan-kawan, saya dalam keadaan baik," katanya menerusi pesanan Whatsapp hari ini.