Bekas pemain Harimau Muda A, V. Kavichelvan, teruja dapat meneruskan karier dalam bola sepak bersama kelab Liga Perdana, PDRM, selepas bergelar pegawai polis pada awal tahun ini.

Kavichelvan sebelum ini pernah beraksi bersama Selangor dan Negeri Sembilan sebelum membuat keputusan menjadi pelatih Polis Diraja Malaysia(PDRM) pada pertengahan tahun lalu.

Dia menjelaskan pendirian itu tidak dipengaruhi sesiapa kerana sejak kecil lagi, dia sudah menanam impian mahu menjadi seorang pegawai polis.

"Menjadi pegawai polis merupakan impian saya. Saya sangat bertuah kerana masih dapat bermain bola sepak dan berharap melakukan sesuatu buat PDRM," katanya.

Bersama PDRM, Kavichelvan yang merupakan seorang inspektor berharap mampu menyumbang sesuatu kepada pasukan memandangkan dia mempunyai pengalaman luas, termasuk bersama Harimau Muda.

Beraksi di posisi sayap kiri, pemain berusia 27 tahun ini mahu mengembalikan nama PDRM yang sebelum ini gah dalam saingan Liga Malaysia.

"PDRM merupakan antara pesaing hebat dalam saingan Liga Malaysia, saya akan memberikan yang terbaik untuk pasukan bagi menghasilkan keputusan yang positif."