Bekas pertahanan kebangsaan Zambia, Francis Kasonde, sah menyertai semula Sabah, sekali gus menjawab teka teki berhubung kedudukan Igor Cerina dalam pasukan itu musim ini.

Pertahanan berusia 32 tahun itu menandatangani kontrak selama setahun dengan pasukan berkenaan di pejabat Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), tengah hari tadi, sambil disaksikan Naib Presiden SAFA, Benedict Asmat, pengurus pasukan, Datuk Juil Nuatim dan ketua jurulatih, Jelius Ating.

Ini bermakna Cerina terpaksa disingkirkan daripada skuad kendalian Jelius itu musim ini dan difahamkan SAFA terpaksa membayar pampasan kepadanya.

Juil ketika ditemui berkata semua pihak perlu tahu situasi sebenar dan memahami keputusan mereka menyingkirkan Cerina.

"Dia (Cerina) cedera sejak pertengahan musim lalu, kita mahu dia buat pemulihan tetapi sehingga sekarang belum boleh beraksi... sudah hampir sembilan bulan.

"Sekarang doktor menasihatkan dia supaya berehat lagi tiga minggu. Selepas itu dia juga perlu menjalani sesi pemulihan untuk kembali cergas. Kita tidak tahu berapa lama lagi mahu tunggu, mungkin satu atau dua bulan, sampai bila?" katanya.

Sehubungan itu, Juil berkata pemilihan Kasonde sebagai pengganti Cerina amat sesuai kerana pemain yang pernah membuat 35 penampilan bersama Zambia itu adalah sebahagian daripada pasukan musim lalu.

"Kasonde sudah serasi bersama pasukan. Keputusan ini dibuat kerana kami tidak memiliki banyak masa dan jalan penyelesaian terbaik adalah memanggil semula dia (Kasonde).

"Mengenai Igor (Cerina), SAFA terpaksa membayar untuk melepaskan dia dan kami akan berbincang dalam tempoh terdekat ini, keputusan ini perlu dibuat demi kebaikan pasukan," katanya lagi.