Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) menagih kehadiran penyokong dalam perlawanan terakhir Liga Perdana menentang UKM FC di Stadium Sultan Muhammad lV, Kota Bharu, Sabtu ini selepas memberikan potongan harga tiket istimewa.

Presidennya, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, berkata pemotongan harga tiket itu bagi meraikan peminat bola sepak Kelantan untuk datang beramai-ramai memenuhi stadium bagi memberikan sokongan kepada pasukan negeri itu.

"Kami mengumumkan harga tiket perlawanan itu adalah RM20 bagi tiket astaka (harga asal RM55) RM10 (RM45) bagi astaka terbuka, terbuka RM5 (RM12) dan bawah umur 12 tahun percuma (RM5).

"Ia merupakan satu langkah pihak kami untuk menarik penyokong memberikan sokongan kepada pasukan Kelantan dan seterusnya memperoleh mata," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sepanjang musim ini, kehadiran penyokong ke stadium tidak begitu meriah berbanding tahun-tahun sebelum ini berikutan kurang ‘selesa’ dengan prestasi pasukan Kelantan dalam saingan liga.

Wan Abdul Rahim berkata KAFA juga mengharapkan pemain menunjukkan satu permainan berkualiti bagi memperoleh mata dalam perlawanan itu.

"Gunakan peluang bermain di tempat sendiri untuk menghadiahkan sesuatu kepada penyokong yang hadir ke stadium," katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya dijangka mengadakan satu sidang media Khamis ini bagi menjelaskan beberapa isu yang melanda KAFA ketika ini, antaranya berkaitan tunggakan gaji pemain dan jurulatih yang memberikan kesan kepada prestasi pasukan.

Selepas 19 perlawanan, Kelantan berada di kedudukan kedua tercorot dengan memperoleh 13 mata hasil tiga kemenangan, empat seri dan dua kekalahan.

-- BERNAMA