Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sedang giat mencari penaja bagi persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2020 selain menyelesaikan tunggakan gaji pemain.

Pengerusi Penaja KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid, berkata pihaknya mengharapkan kerjasama daripada semua pihak, termasuk penyokong, supaya bertenang dan tidak menimbulkan sebarang persepsi negatif terhadap persatuan itu.

"Ia penting bagi menarik lebih banyak penaja untuk bekerjasama dengan KAFA bagi persiapan musim depan dan membantu mengurangkan beban kewangan KAFA.

"KAFA sedar dan tidak pernah lepas tangan membabitkan hal hutang serta tunggakan gaji lama," katanya dalam satu kenyataan media di Kota Bharu, hari ini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan barisan pemain The Red Warriors (TRW) ‘mengamuk’ selepas KAFA dilaporkan masih belum membuat bayaran gaji biarpun berjanji berbuat demikian pada 15 September lalu.

Ahmad Muzakkir berkata tugas pihaknya mencari penaja lebih sukar sekiranya penyokong sentiasa memberi pandangan yang negatif mengenai persatuan itu.

"Bagaimana penaja mahu bersama kami sedangkan mereka dihidangkan dengan berita kurang enak.

"Kami sedar apa yang sedang berlaku ketika ini dan KAFA pun sedang giat mencari penaja yang berminat untuk menyertai kami bagi membina semula pasukan TRW tetapi dalam masa sama, kami juga mengharapkan kerjasama daripada semua pihak," katanya.

Beliau berkata sebelum ini timbul dakwaan mengatakan pemain TRW mengamuk apabila belum menerima bayaran gaji sehingga 15 September lalu seperti yang dijanjikan.

"Kami juga telah terima dana daripada penaja sebelum ini dan sudah pun digunakan untuk menyelesaikan tunggakan gaji pengurusan dan pemain skuad belia ketika itu," katanya.

-- BERNAMA