Justin pengendali skuad muda Sang Badak

Oleh Willie Jude 11 Januari 2019 705
Justin pengendali skuad muda Sang Badak
Jurulatih berpengalaman, Justin Ganai, kembali mencurah bakti bersama Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) apabila dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Piala Presiden untuk musim 2019.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung SAFA, Andrew Majanggim, dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu, hari ini.

Justin sebelum ini menjadi ketua jurulatih pasukan bola sepak wanita kebangsaan B-16 (B-16) dan B-19. 

Difahamkan, khidmatnya masih diperlukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), namun beliau membuat keputusan untuk kembali membantu bola sepak Sabah.

"Saya sebenarnya tidak menjangkakan ini (ditawarkan sebagai ketua jurulatih Piala Presiden Sabah), tetapi oleh kerana wakil SAFA menemui saya dan menyatakan hasrat mereka, saya sangat berbesar hati untuk menerimanya.

"Terima kasih juga kepada Presiden Kehormat SAFA, Datuk Peter Anthony, kerana memberi kepercayaan ini.

"Saya akan membuat yang terbaik dalam membimbing pemain-pemain muda Sabah ini dalam saingan Piala Presiden," katanya ketika dihubungi.

Justin akan dibantu oleh Johnny Dominicus selaku penolong jurulatih dan Dante S Tipay sebagai jurulatih penjaga gol dengan sesi latihan akan bermula Ahad ini.

Seramai 36 pemain juga akan menyertai sesi latihan pertama itu dan hanya 30 pemain yang akan dimasukkan dalam senarai akhir.

Dalam ada itu, Andrew turut mengumumkan Billyton Vun Ket Ming sebagai ketua jurulatih skuad Piala Belia (B-19).

Bekas pemain itu akan dibantu Faizal Ahmad sebagai penolong jurulatih manakala Jasrih Jabidin selaku jurulatih penjaga gol.

Sesi latihan pertama pasukan itu juga akan bermula Ahad ini dengan 35 pemain dipanggil, namun hanya 30 yang akan berada dalam senarai akhir nanti.

"Pemain-pemain yang tersenarai awal itu dipilih semasa Kejohanan Antara Zon dan pemilihan akhir pada bulan lalu," kata Andrew.

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen