"Apabila kami ketinggalan dua gol, saya nampak semangat melawan pemain tidak hilang, mereka begitu bersungguh-sungguh dan ternyata usaha mereka berbaloi," kata pengurus Sabah, Datuk Juil Nuatim.

Sabah bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum menang ke atas MISC-MIFA di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi.

Juil berkata respons yang diberikan pemain begitu baik, terutama dalam separuh masa kedua, sehingga mereka berjaya meledak dua gol untuk memenangi perlawanan itu 3-2.

"Kemenangan ini juga sangat bermakna buat kami kerana selain disaksikan penyokong sendiri, peluang kami untuk terus bersaing bagi merebut tempat ke Piala Malaysia dan mungkin juga untuk layak ke Liga Super juga masih ada sinar harapan," katanya ketika dihubungi selepas perlawanan itu, malam tadi.

Sementara itu, Juil berkata gandingan dua penyerang import pasukan berkenaan, iaitu Hector Omar Ramos dan Rodoljub Paunovic, sudah semakin serasi dan percaya dua pemain itu akan terus menyumbangkan gol buat pasukan dalam aksi akan datang.

"Walaupun ini baru perlawanan kedua Paunovic bergandingan dengan Ramos, keserasian mereka sudah boleh dilihat dan saya harap gandingan mereka akan terus memberi impak kepada pasukan," katanya.

Dalam aksi malam tadi, Sabah dikejutkan dengan dua jaringan penyerang import MISC-MIFA, Kpah Sean Sherman, pada minit ke-17 dan 33 sebelum Rawilson Batuil merapatkan jurang pada minit ke-36.

Kesungguhan yang ditunjukkan pemain Sang Badak itu dalam separuh masa kedua kemudian membuahkan hasil apabila berjaya memperoleh dua gol menerusi Hamran Peter (m-50) dan Hector Omar Ramos (m-83) untuk memenangi perlawanan itu.