Pengurus Sabah, Datuk Juil Nuatim, berharap Datuk Seri Shafie Apdal akan mempertimbangkan bagi menerajui Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), seterusnya menyelamatkan persatuan berkenaan yang kini dianggap kritikal.

"Seperti yang kita semua tahu, menggerakkan SAFA bukan tugas yang mudah kerana ia melibatkan banyak tanggungjawab dan salah satu daripadanya adalah mendapatkan dana...saya akui keadaan kewangan persatuan kini kritikal.

"Ia malang (jika masalah kewangan berterusan) kerana skuad senior kita sedang menunjukkan pencapaian baik setakat ini dan saya fikir musim ini adalah kempen terbaik kita selepas beberapa tahun.

"Begitu juga dengan pasukan bawah 21 tahun (pasukan Piala Presiden) dan bawah 19 tahun (Piala Belia), mereka juga menunjukkan pencapaian baik dalam saingan yang sedang berlangsung," katanya ketika ditemui, di Kota Kinabalu, semalam.

Sehubungan itu, Juil berkata Ketua Menteri, Shafie, adalah orang paling sesuai menjadi presiden SAFA selepas jawatan berkenaan ditinggalkan bekas penyandangnya, Tan Sri Musa Aman yang juga bekas Ketua Menteri Sabah selepas peralihan kuasa kerajaan negeri berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

"Seorang pemimpin yang berkemampuan seperti Shafie sangat diperlukan oleh SAFA ketika ini, bukan saja demi bola sepak negeri tetapi juga demi rakyat Sabah," katanya.

Sementara itu, Juil berkata, beliau dan pegawai lain di SAFA sedang berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi memastikan pengendalian pasukan-pasukan negeri berjalan lancar.

"Kami sukarela berada di SAFA kerana cintakan sukan bola sepak tetapi jika ada sesiapa yang mahu membantu, saya sedia mengundur diri. Bagaimanapun, mereka mesti komited, terutama dalam menjaga kebajikan pemain," katanya.

Tugas presiden SAFA kini dipangku naib presiden persatuan berkenaan, Datuk Yusof Kassim, sehinggalah badan induk bola sepak Sabah itu mengadakan kongresnya yang dijadualkan pada 11 Ogos.

Antara agenda utama kongres itu nanti adalah mengisi jawatan presiden, dua jawatan timbalan presiden dan satu jawatan naib presiden.