Walaupun sedikit kecewa kerana tidak menang, pengendali Sabah, Jelius Ating, tetap memuji kesungguhan yang ditunjukkan anak buahnya selepas terikat 1-1 dengan Sarawak dalam aksi liga 'Derby Borneo' di Stadium Likas, malam tadi.

Jurulatih berusia 47 tahun itu berkata pemainnya bermain baik dan berjaya bangkit untuk menyamakan kedudukan, malah hampir memenangi perlawanan itu selepas ketinggalan.

"Secara keseluruhan, kami memang bermain baik, penguasaan bola kami lebih banyak berbanding Sarawak tetapi seperti yang saya katakan sebelum ini, bola sepak bukan hanya dengan bermain baik tetapi bagaimana kita mahu memenangi perlawanan itu, khususnya dalam menghasilkan jaringan.

"Saya sedikit kecewa dengan penyudah kami, terutama apabila kami menguasai permainan tetapi tidak dapat mencipta gol," katanya ketika ditemui.

Jelius berkata pasukannya juga kurang bernasib baik apabila gagal memenangi perlawanan itu selepas diberikan sepakan penalti pada saat-saat akhir permainan.

"Kami berterima kasih kepada pengadil kerana memberi sepakan penalti itu tapi ia tidak digunakan sebaik mungkin.

"Mungkin juga nasib tidak menyebelahi kami tetapi satu lagi bagi saya ialah sejauh mana kami mahu memenangi perlawanan itu," katanya.

Dalam aksi malam tadi, Sarawak mendahului Sabah hasil jaringan Mateo Roskam pada minit ke-19 sebelum Hector Omar Ramos menyamakan kedudukan buat pasukannya pada minit ke-54.

Dalam masa kecederaan permainan, Sabah sepatutnya boleh memenangi perlawanan itu apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan seorang pertahanan Sarawak.

Bagaimanapun, sepakan terakhir perlawanan yang dilakukan Lee Gil Hoon itu sekadar terkena palang dan dua pasukan dari Borneo itu terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri.

*Kredit imej - Jaiman Taip