Ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating, memuji semangat juang yang dipamerkan anak buahnya sehingga mampu membenam Terengganu FC II (TFC II) dalam aksi Liga Perdana di Stadium Likas, Kota Kinabalu, semalam.

Dalam perlawanan itu, Sabah bangkit daripada ketinggalan satu gol sebelum membenam TFC II 3-1, sekali gus mencatat kemenangan pertama selepas tiga perlawanan liga.

"Dalam perlawanan itu, kami dapat melihat setiap pemain begitu bersungguh-sungguh untuk mencatatkan kemenangan walaupun sebelum itu kami ketinggalan disebabkan aksi hambar dalam separuh masa pertama.

"Bagaimanapun, pemain memberi respons yang sangat baik dalam babak kedua.

"Permainan berubah dan kami menguasai perlawanan sehingga pihak lawan tidak berpeluang untuk bangkit," katanya.

Dalam aksi di Stadium Likas malam tadi, Mohd Ramzi Sufian meletakkan TFC II di depan pada minit ke-39, namun skuad Tambadau itu bangkit dengan ledakan tiga gol dalam babak kedua menerusi Park Tae-su pada minit ke-50, Luka Milunovic (m-64) dan Ricco Nigel Milus (m-73).

Dengan kemenangan itu, Sabah kini melonjak ke tangga kelima liga hasil satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.

*Kredit imej - Media SAFA