Walau sekadar seri, pengendali Sabah, Jelius Ating, tetap gembira dengan cara anak buahnya memberi respons selepas ketinggalan 0-2 kepada Johor Darul Ta'zim II (JDT II) sebelum bangkit mencatat keputusan 2-2 dalam aksi liga di Stadium Pasir Gudang, kelmarin.

"Bukan mudah untuk bangkit selepas ketinggalan 0-2, terutama dengan lawan seperti JDT II yang bukan sahaja memiliki kelebihan gelanggang sendiri tetapi turut diperkuatkan beberapa pemain daripada skuad Liga Super mereka.

"Bagaimanapun, pemain kita berjaya melakukannya dan nampak begitu berbahaya kepada pasukan tuan rumah, terutama dalam 20 minit terakhir permainan. Sebab itu secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan satu mata yang diraih ini," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.

Sabah ketinggalan 1-0 dalam separuh masa pertama hasil jaringan Lucas Elias Ontivero seawal minit ke-12.

Selepas rehat, JDT II hanya memerlukan dua minit untuk menjadikan kedudukan 2-0 menerusi jaringan Darren Lok pada minit ke-47.

Sabah kemudian merapatkan jurang kepada 1-2 menerusi sepakan penalti Lee Gil Hoon pada minit ke-58 sebelum Mafry Balang menyamakan kedudukan pada minit ke-88.

Jelius berkata persembahan pasukannya juga lebih baik berbanding empat perlawanan sebelum ini dan beliau berharap keadaan itu akan berterusan untuk mereka tampil dengan lebih mantap dalam perlawanan akan datang.

Imej: Asiana