Ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating, tetap berpuas hati walaupun sekadar membawa pulang satu mata dari Stadium Bandaraya Pulau Pinang, semalam.

Dalam perlawanan itu, skuad Tambadau dan Pulau Pinang gagal menghasilkan sebarang gol untuk terikat 0-0 dan berkongsi satu mata.

"Memang sasaran kami datang ke Pulau Pinang untuk mencari kemenangan, bagaimanapun saya tetap berpuas hati kerana tidak pulang dengan tangan kosong.

"Saya melihat perlawanan ini agak seimbang. Kedua-dua pasukan memiliki peluang, namun saya juga perlu akui Pulau Pinang bermain dengan sangat baik malam ini," katanya ketika dihubungi selepas perlawanan.

Sementara itu, Jelius berkata beliau belum berpuas hati dengan aksi pemain import pasukannya, terutama penyerang, Aguinaldo Mendes Veiga.

"Pemain import sepatutnya lebih baik. Tiada gunanya kalau permainannya (Mendes) sama saja dengan pemain tempatan.

"Bagaimanapun, dia bermain lebih baik dalam babak kedua dan saya harap dia akan cepat cergas sepenuhnya serta terus meningkat," katanya.

Dengan keputusan itu, Sabah kekal di tangga ketiga dengan 25 mata, satu mata di belakang pendahulu liga, UiTM FC serta Johor Darul Ta'zim II (JDT II).

Bagaimanapun, Sabah masih memiliki kelebihan satu perlawanan di mana skuad Tambadau itu akan bertemu Negeri Sembilan di Stadium Likas, pertengahan bulan depan.