Jelius minat dengan Ogawa

Oleh Willie Jude 21 Mei 2018 6296
Jelius minat dengan Ogawa
Jurulatih Sabah, Jelius Ating, dikatakan berminat dengan pemain tengah dari Jepun, Keisuke Ogawa, yang kini sedang menjalani sesi ujian pemilihan dengan pasukan berkenaan.

Jelius ketika dihubungi memberi bayangan akan menawarkan kontrak kepada pemain yang memiliki ketinggian 1.80m itu.

"Kami tertarik dengan dia dan saya juga telah mencadangkan kepada pihak SAFA (Persatuan Bola Sepak Sabah), namun kini terserah kepada mereka untuk membuat keputusan," katanya.

Ogawa bukanlah nama asing dalam bola sepak di negara ini kerana pernah menyarung jersi PKNS FC pada 2015 sebelum menyertai kelab Yadanarbon di Myanmar.

Sebelum ini juga, pemain berusia 31 tahun yang turut boleh bermain di posisi pertahanan itu pernah mewakili beberapa kelab lain, termasuk Kobe FC (2004-2007), Albirex Niigata Singapore (2007-2010) dan Pattaya United di Thailand (2010-2015).
 
Selepas itu, Ogawa turut beraksi bersama kelab di Latvia dan Serbia sebelum kembali semula ke Thailand pada penghujung 2014.

Jelius berkata sekiranya pemain itu diserap dalam pasukan, dia bakal menggantikan Heo Jaenyong yang tidak disambung kontraknya.

Sementara itu, Jelius turut mendedahkan masih belum mendapat pengganti Lee Gil Hoon yang turut tidak disambung kontraknya sebelum ini.

Katanya, beberapa pemain import lagi akan datang ke Kota Kinabalu untuk menjalani ujian pemilihan dan sekiranya tiada yang berjaya menarik perhantian beliau, bekas penyerang mereka dari Serbia, Rodoljub Paunovic, mungkin akan dipanggil semula.

Gambar: Augustine Jumat

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen