Ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating, mengakui kecewa dengan skuad bimbingannya, yang tumpas 1-2 kepada Terengganu FC II (TFC II) dalam aksi penutup Liga Perdana di Kuala Terengganu, malam tadi.

Selain aksi serba tidak menjadi, persembahan pemain-pemain simpanan yang diturunkan juga gagal memikat hati jurulatih itu yang bertindak merehatkan beberapa tonggak utama.

Walaupun diberikan peluang beraksi, beliau berkata mereka tidak menunjukkan karakter sebenar selain beraksi sambil lewa dan tiada kesungguhan.

"Saya tidak berpuas hati dan kecewa kerana kami gagal mengawal permainan, mudah kehilangan bola dan banyak hantaran yang tidak tepat.

"Sabah tewas bukan kerana pasukan lawan lebih baik tetapi sikap kami sendiri yang tidak bersungguh-sungguh sehingga melakukan kesilapan," ujarnya.

Dalam aksi malam tadi, Sabah yang beraksi tanpa penjaring terbanyak, Rodoljub Paunovic, ketinggalan menerusi jaringan Haidhir Suhaini (m-45) dan Mohd Ridzuan Razali (m-55).

Gol sagu hati Sabah terhasil pada minit ke-63 daripada Aguinaldo Mendes, namun hasrat untuk mencuri satu mata tidak kesampaian selepas gagal menyamakan kedudukan.

Jelius berkata fokusnya kini terarah kepada kempen Piala Malaysia bulan depan dengan meletakkan sasaran untuk mengulangi pencapaian bermakna musim lalu.

"Kejayaan mara ke separuh akhir musim lalu mahu diulangi tetapi kami tidak boleh bergantung kepada hanya 11 atau 18 pemain," tambahnya.