Pengendali Sabah, Jelius Ating, berharap akan melengkapkan pasukannya, termasuk menemui pemain import yang bersesuaian minggu ini.

Masa kian suntuk untuk Sabah melakukan persiapan bagi menghadapi Liga Perdana yang akan bermula bulan depan.

"Setakat ini, kami tidak menghadapi masalah pemain tempatan kerana senarai itu sudah lengkap.

"Bagaimanapun, pasukan ini masih belum dilengkapi pemain import dan saya berharap akan menemui calon yang sesuai minggu ini," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.

Tiga lagi pemain import akan datang ke Kota Kinabalu bagi menjalani ujian pemilihan dan Jelius berharap pemain yang hadir akan memiliki kualiti yang diharapkan.

"Setakat ini, hanya bekas pemain import dari Korea Selatan, Heo Jae-nyeong, yang masih menjalani latihan bersama pasukan dan kami menjangkakan tiga lagi pemain akan hadir minggu ini untuk mencuba nasib.

"Selain itu, seorang lagi pemain tengah dari Australia kini berada di Kota Kinabalu, namun belum turun menjalani latihan dan kami berharap dia akan hadir ke ujian pemilihan hari ini," katanya.

Daripada kesemua pemain import yang datang menjalani pemilihan sebelum ini, hanya seorang pertahanan dari Korea Selatan yang dilihat bersesuaian dengan pasukan Sabah, namun Jelius masih belum membuat sebarang keputusan tentang perkara itu.

"Kami akan melihatnya nanti, sekiranya masih belum ada calon import yang sesuai, kami mungkin akan menghubunginya.

"Saya juga masih belum membuat sebarang keputusan mengenai Heo, namun tidak menolak kami berkemungkinan akan mengambil dua pemain import dari Korea Selatan," katanya.

Dalam pada itu, Jelius berkata misi pencarian pemain import sedikit-sebanyak menjejaskan persiapan pasukannya kerana mereka terpaksa melakukan persiapan dan menguji pemain import pada masa sama.

"Kami juga tidak sempat mengadakan perlawanan persahabatan, kami telah menjemput pasukan Pulau Pinang untuk aksi persahabatan di sini tetapi pasukan itu tidak dapat datang.

"Bagaimanapun, pasukan kami dijangka akan ke Filipina minggu depan untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan dua kelab di sana.

"Kami berharap dapat membawa skuad lengkap ke Filipina kerana ia penting untuk kami memastikan persiapan berjalan dengan baik," katanya.