Pengendali Sabah, Jelius Ating, tidak meletakkan sasaran tinggi terhadap pasukannya musim ini, namun berharap mereka mampu beraksi dengan lebih kompetitif.

Jurulatih berusia 47 tahun itu, yang mengambil alih pasukan berkenaan sejak pertengahan musim lalu, turut berharap sejarah bergelut di dalam zon penyingkiran sebelum ini tidak lagi berulang.

"Oleh sebab itu, kami harus memulakan kempen dengan lebih baik dan berharap ia juga berakhir dengan baik.

"Pada musim lalu, sebelum saya ambil alih, pasukan ini berada di tangga kedua tercorot selepas lapan aksi dan ia menyukarkan kami sehingga terpaksa bergelut keluar daripada zon penyingkiran," katanya ketika ditemui, di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Jelius berkata saingan musim ini juga pastinya lebih mencabar buat pasukannya, namun mereka akan melakukan yang terbaik untuk memberi saingan kepada pasukan lain.

"Kami juga harap penyokong akan terus berada di belakang kami untuk sama-sama membantu pasukan ini mencipta keputusan lebih baik kerana mereka juga adalah sebahagian daripada pasukan sebagai pemain ke-12," katanya.