Selepas pemergian Lee Gil Hoon dan Heo Jaenyong yang tidak disambung kontrak mereka, Sabah kini masih mencari pemain luar negara yang sesuai bagi menggantikan tempat mereka.

Bagaimanapun, pengendali pasukan, Jelius Ating, mengakui menghadapi sedikit kesukaran untuk berbuat demikian walaupun beberapa pemain import telah datang ke Kota Kinabalu untuk mengikuti sesi ujian pemilihan.

"Dengan saingan liga yang masih berlangsung, masa kita untuk melihat aksi sebenar pemain import yang datang agak terhad kerana kita juga perlu melakukan persiapan bagi menghadapi perlawanan," katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, hari ini.

Jelius berkata setakat ini hanya seorang pemain yang berjaya menarik perhatian mereka, iaitu pemain tengah dari Jepun, Keisuke Ogawa, namun proses untuk menawarkannya kontrak masih belum selesai.

Berikutan itu juga, jurulatih berusia 47 tahun itu terpaksa hanya menggunakan dua pemain import untuk berdepan dengan pendahulu liga, Felda United, di Stadium Tun Abdul Razak di Jengka, Pahang, malam ini.

Sementara itu, Jelius turut mendedahkan tertarik dengan seorang lagi penyerang dari Korea Selatan, Kim Jeewong, namun ian belum muktamad kerana beliau masih mahu melihat lebih banyak aksi daripada pemain berkenaan.

"Setakat ini, saya melihat Ogawa adalah pemain yang sesuai untuk menggantikan tempat Jaenyong, namun bagi tempat Gil Hoon pula, saya masih mencari pemain sesuai walaupun kita melihat salah seorang pemain import dari Korea Selatan yang hadir dilihat berpotensi.

"Kita juga masih ada cara lain untuk mencari pengganti Gil Hoon, termasuk memanggil semula penyerang dari Serbia, Rodoljub Paunovic," katanya.

Tambah Jelius, beliau telah berhubung dengan Paunovic dan pemain itu sangat berminat untuk kembali mencurah bakti di bersama Sabah.

Dalam pada itu, beliau turut mempertahankan keputusannya untuk menggugurkan Jaenyong dan Gil Hoon demi memantapkan lagi pasukan.

"Memang ada beberapa pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan ini tetapi bagi saya, perubahan perlu dilakukan bagi memantapkan pasukan, saya tidak nampak kita begitu konsisten sepanjang pusingan petama saingan liga.

"Ini keputusan saya sebagai ketua jurulatih, saya harap semua pihak menghormati keputusan ini kerana saya yakin semua orang mahu melihat pasukan ini maju dan sesuatu perlu dilakukan jika kita mahu terus mencatat keputusan baik," katanya.