Pengendali Sabah, Jelius Ating, akan menggunakan formasi baharu dalam aksi 'Borneo Derby' di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam esok.

Jurulatih berusia 47 tahun itu berkata formasi berkenaan akan memberi lebih penguasaan di bahagian tengah, seterusnya mencipta lebih banyak peluang untuk menghasilkan gol.

"Kami akan menggunakan formasi atau taktikal baharu ini juga adalah susulan daripada kemasukan semula pertahanan import dari Zambia, Francis Kasonde.

"Saya juga gembira kerana pemain cepat menyesuaikan diri dengan taktikal ini, kami akan menggunakan lima pemain di bahagian tengah," katanya.

Jelius juga menjelaskan bahawa pemain pertahanan, Randy Baruh, akan direhatkan bagi memberi laluan kepada Kasonde untuk mengepalai posisi berkenaan.

"Kebetulan juga Randy mengalami sedikit kecederaan pangkal paha dua hari lalu, namun ia tidak serius dan dia mungkin akan bersedia di bangku pemain simpanan."

Selain menggantikan Randy dengan Kasonde, Jelius berkata dia akan mengekalkan kesebelasan utamanya sebelum ini.

Jelius dijangka mengekalkan Robson Rendy Rining sebagai penjaga gol dengan dibantu tiga pertahanan, iaitu Kasonde, Rawilson Batuil dan Maffry Balang.

Pemain import dari Korea Selatan, Heo Jaenyong, pula akan mengemudi bahagian tengah bersama Mohd Azzizan Nordin, Sabri Sahar, Maxsius Musa dan Jenius Karib.

Sementara itu, dua penyerang import, Lee Gil Hoon dan Hector Omar Ramos, kekal sebagai pemburu jaringan buat Sang Badak.