"Jaringan yang pelik," demikian pandangan ketua jurulatih UiTM FC , Wan Mustaffa Wan Ismail, yang terkejut menyaksikan jaringan Nur Areff Kamaruddin pada masa kecederaan ketika berdepan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dalam Liga Perdana di Pasir Gudang, kelmarin.

Menurut Mustaffa, gol sepakan dari jarak 35 meter itu boleh disenaraikan dalam Anugerah Puskas, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), selain menjadi pemangkin semangat buat pasukannya menghadapi Marcerra Kuantan FA di Shah Alam, esok.

Jelasnya, ia adalah jaringan paling cantik yang pernah disaksikannya sepajang bergelar jurulatih UiTM FC.

Nur Areff melakukan satu tendangan padu, dengan bola yang melambung tinggi terkena palang sebelum menerjah jaring untuk mengikat JDT II 2-2.

"Kalau dicalonkan dalam Anugerah Puskas, ia adalah satu bonus tambahan bagi pasukan kerdil ini. Kalau orang cakap ia hanya sebagai calon semata-mata, kami tetap mengambil positif," kata Wan Mustaffa.

Menjelang aksi berdepan Marcerra Kuantan, esok, dia mahu pemainnya tidak dibuai mimpi indah selepas tidak tewas dalam dua perlawanan terakhir.

Katanya, perjalanan memburu slot dua tangga teratas liga masih jauh kerana mempunyai 20 perlawanan yang perlu diharungi.

"Kami mahu menggunakan sepenuhnya kelebihan bermain di gelanggang sendiri dengan meraih tiga mata.

"Pasukan pelawat belum mencapai kemenangan. Jadi, mereka juga seperti singa lapar yang mahu mencari kemenangan pertama. Itu yang saya bimbangkan," katanya lagi.