Walaupun sekadar perlawanan pelengkap jadual Liga Perdana musim ini, Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, mahu pemain yang diturunkan dalam aksi menentang Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini tidak bersikap sambil lewa.

"Walaupun hanya pelengkap jadual kerana kami sudah juara tetapi tugas pasukan tetap sama dalam setiap perlawanan iaitu memenanginya dan status juara itu adalah martabat yang perlu dipertahankan.

"Malam ini, ramai pemain daripada bangku simpanan akan bermula sebagai kesebelasan utama dan oleh itu, ia akan menjadi misi penting atau tugas khas buat mereka untuk membantu pasukan memburu kemenangan," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu hari ini.

Peter berkata rekod tanpa kalah dalam 11 perlawanan berturut-turut, termasuk enam kemenangan berturut-turut sebelum ini, perlu dikekalkan.

"Momentum baik itu perlu dikekalkan kerana selepas ini kami akan mengharungi saingan Piala Malaysia dan biasanya bukan mudah untuk mendapatkan semula momentum apabila ia jatuh.

"Sebab itu saya fikir kami masih ada alasan yang kuat untuk memburu kemenangan dan perlawanan ini juga perlu dimanfaatkan untuk membantu persiapan menghadapi Piala Malaysia," katanya.