Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan, mahu pemain The Red Warriors (TRW) memberi tumpuan sepenuhnya terhadap perlawanan menentang Pulau Pinang dalam saingan Liga Perdana di Stadium Bandaraya, malam ini.

Bibi Ramjani juga yakin pemainnya cukup profesional dan tidak terpengaruh dengan cerita di luar padang yang boleh menjejaskan aksi mereka untuk membawa pulang tiga mata penuh dari gelanggang lawan.

"Saya harap pemain tidak tertekan dengan isu di luar padang yang boleh mengganggu tumpuan mereka.

"Sesiapapun yang menjadi presiden akan menjaga bola sepak Kelantan dengan sebaik mungkin kerana ia menjadi amanah yang wajib dipikul.

"Sebagai pemain, teruskan perjuangan untuk memberikan aksi terbaik dan saya yakin kami mampu mencatatkan kemenangan berganda ke atas skuad Harimau Kumbang," katanya.

Dalam perkembangan lain, Bibi Ramjani turut mengesahkan isu pembayaran tunggakan gaji bekas Pengarah Teknikal TRW, Alfredo Carlos Gonzales, berjumlah RM235,686 sudah diselesaikan dengan menggunakan geran tahunan KAFA.

"Terima kasih kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang banyak membantu KAFA menyelesaikan isu tunggakan gaji Gonzales.

"Semua penyokong tahu, kalau isu ini tidak diselesaikan dalam jangka masa yang dibenarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Kelantan akan berdepan dengan pemotongan tiga lagi mata dan bakal diturunkan liga," katanya.