Itu peringatan yang diberikan pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, kepada pemain-pemainnya menjelang aksi Liga Perdana bertemu MISC-MIFA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.

“Tidak dinafikan, saya tahu bagaimana untuk berdepan MIFA dan bagaimana untuk mempersiapkan pasukan untuk perlawanan ini.

“Namun, itu tidak memberi sebarang kelebihan kepada Terengganu kerana dalam bola sepak, semua perlawanan adalah sukar.

“Saya sentiasa mengingatkan semua pemain agar jangan mengambil mudah cabaran pasukan lawan,” kata ketua jurulatih berpengalaman itu.

Gandingan tiga serangkai, Federico Falcone, Issey Farran Nakajima dan Muhd Ferris Danial, turut dituntut memperkemaskan tindakan penyudah bagi memastikan tiga mata tidak terlepas daripada genggaman skuad Sang Penyu.

“Terdapat situasi di mana mereka bersikap pentingkan diri sendiri sedangkan rakan sepasukan mereka berada dalam kedudukan lebih baik untuk menjaringkan gol.

“Itu tidak seharusnya berlaku kerana mereka perlu lebih bertenang, bola sepak adalah permainan berpasukan dan itu antara aspek yang perlu dipertingkatkan.

“Barisan penyerang kami melepaskan deretan peluang dalam perlawanan terdahulu dan saya berharap ia tidak akan berlaku lagi,” tambah Irfan.