Pemain tengah dari Korea Selatan, Heo Jae-nyeong, menjadi pemain import pertama diikat Sabah selepas jendela perpindahan pemain Liga Malaysia (Liga M) dibuka, Isnin lalu.

Pemain berusia 25 tahun itu menandatangani kontrak selama setahun dengan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), hari ini.

Timbalan Presiden 2 SAFA, Datuk Lawrence Gimbang, ketika mengesahkan perkara itu, berkata kemasukan Jae-nyeong dalam pasukan mampu memberi impak positif, terutama bagi mengelak daripada tersingkir daripada saingan Liga Perdana.

"Heo berjaya menarik perhatian ketua jurulatih (Jelius Ating) dengan kualiti yang ditunjukkan dalam sesi ujian pemilihan pemain dan kami percaya dia mampu membantu kami dalam menghadapi baki saingan liga," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu.

Selain beraksi di posisi tengah, Jae-nyeong yang sebelum ini pernah beraksi bersama kelab Muang Thong United di Thailand serta Gwangju FC di negara asalnya, juga boleh bermain sebagai pertahanan.

Kehadiran Jae-nyeong juga dijangka mampu membantu bahagian pertahanan Sang Badak selepas pertahanan import dari Croatia, Igor Cerina, dilaporkan mengalami kecederaan teruk dan tidak dapat beraksi untuk jangka panjang.

Dalam perkembangan lain, Lawrence turut berkata perbincangan dengan seorang lagi pemain dari Korea Selatan, Lee Gil Hoon, masih lagi berjalan.

Katanya, kedudukan bekas penyerang berbisa Pulau Pinang yang kini berusia 34 tahun itu akan diketahui sebaik ejennya tiba di Kota Kinabalu untuk perbincangan lanjut dengan SAFA.

"Kami mengharapkan semuanya berjalan lancar dan persetujuan dapat dicapai secepat mungkin bagi membolehkan dia beraksi bersama pasukan untuk perlawanan liga seterusnya."

Sementara itu, difahamkan juga Cerina berkemungkinan besar tidak akan lagi berada dalam pasukan sehingga kempen liga musim ini tamat berikutan kecederaan ligamen kaki kanannya yang agak teruk.

Dia dilaporkan terpaksa berehat selama tiga bulan dan berkemungkinan hanya kembali ketika aksi berbaki tiga perlawanan.

Bagaimanapun, kedudukan Cerina untuk musim depan masih selamat kerana dia masih memiliki kontrak sehingga penghujung 2018.