Episod hitam 12 bekas pemain PDRM akhirnya berakhir selepas baki tunggakan gaji mereka dilunaskan sepenuhnya oleh pengurusan pasukan itu hari ini.

Derita enam bulan tanpa gaji nyata memberi kesan buat beberapa pemain PDRM sehingga mereka tidak lagi berminat untuk beraksi.

Bagi bekas pemain PDRM, Hazwan Fakhrullah Zuridi, langkah yang diambil pihak pengurusan PDRM itu amat melegakan dan dapat meringankan beban yang ditanggung.

Hazwan sebelum ini berdepan tunggakan gaji berjumlah RM48,000, dengan pengurusan PDRM melunaskan baki RM522,000 yang turut melibatkan empat pegawai pasukan itu, termasuk jurulatih, Zulhamizan Zakaria.

"Saya berharap semua pemain yang terlibat akan dipermudahkan.

"Ia merupakan punca rezeki kami dan ia telah menyebabkan sebahagian pemain menamatkan karier kerana tiada duit untuk mencari pasukan baru.

"Saya sudah bekerja dan tidak lagi bermain bola sepak.

"Ia mengecewakan, namun saya perlu teruskan hidup dan mencari rezeki," katanya.

Dalam pada itu, pengurus PDRM, Datuk Kamarul Ariffin, menjelaskan pembayaran tunggakan gaji berkenaan turut dibantu geran yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berjumlah RM300,000.

Begitupun, dia mengakui masih ada lagi tunggakan gaji membabitkan empat pemain import, seorang pegawai dan seorang lagi pemain tempatan yang masih belum dilunaskan berjumlah hampir RM700,000.

Dia memberi jaminan perkara itu akan diselesaikan dalam tempoh sekurang-kurangnya dua bulan lagi.

"Secara keseluruhannya, ia melibatkan enam individu dengan jumlah keseluruhannya bernilai RM696,000," katanya.