Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menjelaskan bahawa Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) telah menyelesaikan tunggakan gaji bekas pemainnya, Alex de Morais.

PFAM menerusi satu kenyataan ringkas berkata De Morais mengesahkan menerusi pesanan WhatsApp kepada pihaknya sekitar 5 petang tadi bahawa PBNS telah selesai membuat bayaran kepada pemain itu.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada PBNS yang telah menunaikan tanggungjawab ini. Selamat maju jaya untuk kempen Piala Malaysia,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, PFAM turut mengesahkan bahawa Persatuan Bolasepak Angkatan Tentera Malaysia (ATM FA), telah membuat bayaran bagi jadual pembayaran untuk Jun 2019, semalam.

“PFAM mengucapkan terima kasih atas respons segera ini dan berharap pembayaran untuk Julai 2019 akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan berasingan.

PFAM pada Ahad lalu, mendedahkan terdapat banyak pasukan yang belum melunaskan tunggakan gaji, melibatkan jumlah keseluruhan RM6.4 juta, termasuk Melaka, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan, PDRM, Felda United serta ATM.

-- BERNAMA