Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) tampak sedia menerima apa jua bentuk tindakan setelah tunggakan gaji pemain musim ini genap dua bulan, hari ini.

Ini berikutan Presidennya, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie, mengakui bahawa beliau masih belum mampu menyelesaikan kemelut tunggakan gaji yang membelenggu skuad Singa Utara itu.

"Saya tidak ada mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan laporan yang mengatakan saya berjanji bahawa tunggakan gaji pemain akan dilunaskan hari ini.

"Saya sudah berusaha sebaik yang mungkin untuk menyelesaikan isu ini," katanya.

Begitupun, Amizal menyuarakan keyakinan bahawa pemain Perlis tidak akan meninggalkan pasukan itu walaupun beberapa bintang utamanya sudah menyuarakan hasrat untuk berbuat demikian dalam masa terdekat ini.

"Saya sudah memberitahu seluruh Malaysia bahawa saya akan menyelesaikan perkara ini.

"Pemain sudah pun faham dan tunggu sahajalah tindakan lanjut daripada pihak pengurusan," tambahnya.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam, mendedahkan pihaknya sudah memberi kata dua kepada pasukan yang terpalit dengan kemelut gaji.

"Kami telah memberi peringatan kepada Perlis bahawa pada 15 Februari ini, kami perlu memberi maklumat terkini mengenai isu tunggakan gaji dalam saingan MFL ketika dalam mesyuarat jawatankuasa.

"Ia bukan sahaja membabitkan Perlis, ia termasuklah pasukan-pasukan yang mengalami masalah pendaftaran Liga Perdana yang berkaitan kelewatan pembayaran yang sepatutnya," katanya.