"Saya sedia undur diri." Itu luahan Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie, susulan kritikan yang diterima berikutan isu tunggakan gaji yang melanda skuad Singa Utara ketika ini.

Perlis menjadi perhatian selepas dikaitkan dengan kes tunggakan gaji musim lalu walaupun dilihat membawa masuk beberapa nama besar bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Amizal kesal akibat kemelut gaji itu, empat penaja utama yang berpotensi telah menarik diri biarpun hanya menunggu masa untuk menandatangani persetujuan bersama.

"Kalau hari ini ada pihak yang berasakan mampu menggalas tanggungjawab untuk mengambil alih tampuk kepimpinan PFA, saya sedia lepaskan (jawatan)," ujarnya.

Amizal, yang baru memimpin skuad Perlis selama tiga bulan, berkata dia memerlukan masa untuk menyelesaikan isu itu dengan membuka pintu rundingan bersama barisan pemain selain meminta mereka agar tidak hanya berbalas kenyataan melalui media sosial.

"Saya berada di sini bukannya sebab gilakan nama dan jawatan.

"Apa yang menyedihkan, susulan isu ini, empat penaja utama kami sudah menarik diri," ujarnya ketika ditemui dalam majlis pelancaran pengenalan skuad futsal Perlis yang membabitkan sembilan pemain lelaki dan 10 wanita yang akan menjadi taruhan dalam Kejohanan Liga Futsal Profesional Malaysia 2019.

Katanya lagi: "Sasaran kami tidak lari sejak hari pertama saya bertemu ketua jurulatih skuad lelaki dan wanita.

"Kami menyasarkan misi untuk muncul juara. Saya tidak mahu kami menjadi pasukan kedua atau ketiga terbaik."