Ketua jurulatih UiTM FC, Ismail Zakaria, mahu barisan pemainnya mengutip mata penuh menentang Pulau Pinang malam ini agar impian ke Liga Super 2020 tidak musnah.

UiTM berupaya melakar sejarah tersendiri sepanjang penubuhan kelab itu apabila bukan sahaja berpeluang untuk naik ke Liga Super musim depan, malah mampu mencabar kejuaraan Liga Perdana yang berbaki lima perlawanan.

Bagi bekas pengendali Kuantan FA itu, baki perlawanan harus dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk cuba mengutip pungutan mata maksimum memandangkan persaingan dengan pencabar lain amat rapat dalam kalangan lapan pasukan teratas.

Jika mereka berjaya menamatkan saingan sekurang-kurangnya di tangga ketiga dan Johor Darul Ta’zim (JDT) II dinobatkan sebagai juara, UiTM masih berpeluang untuk naik ke Liga Super musim depan memandangkan skuad dari selatan tanah air itu merupakan pasukan sokongan.

"Dalam perlumbaan 100 meter, kami sudah melalui 70m. Hanya perlu menamatkan baki 30m. Kami harus mengumpul segala kudrat untuk mengutip semua mata dan berada dalam Liga Super atau menjuarai Liga Perdana," katanya.

Justeru, pertemuan dengan Pulau Pinang harus diterjemahkan dengan kemenangan agar terus membolehkan mereka menghimpit JDT II yang menerajui carta dengan 30 mata.