Ketua jurulatih UiTM FC, Ismail Zakaria, mahu memastikan sekurang-kurangnya tiga kemenangan daripada enam perlawanan terakhir Liga Perdana musim ini bagi mengukuhkan peluang pasukannya untuk dinaikkan ke Liga Super musim depan.

Meskipun berada di puncak liga ketika ini, jurulatih itu enggan memandang rendah saingan yang akan dihadirkan pasukan lain, terutama ketika menentang Kelantan di Kota Bharu, Jumaat ini.

Dia menganggap skuad kendalian Yusri Che lah itu akan bekerja keras untuk memburu kemenangan ketiga musim ini.

Bagaimanapun, Ismail optimis barisan pemainnya mampu meraih mata penuh selepas menilai tahap kecergasan terbaik walaupun berehat panjang sempena sambutan Aidilfitri sebelum ini.

"Mereka perlu ke Kelantan dengan niat nak menang dan bersungguh-sungguh.

"Itulah yang saya harapkan daripada mereka.

"Saya rasa peluang itu ada, cuma mereka perlu berkeazaman tinggi untuk berjuang di tempat lawan," katanya.

Dalam pada itu, tonggak import, Zarko Korac, akan mengetuai skuad UiTM FC bagi menggantikan Afif Asyraf Zabawi yang masih cedera.

"Ketika tiba ke sini, sasaran saya adalah untuk mendapatkan dua tangga teratas untuk menyertai Liga Super.

"Sehingga kini, kami masih di landasan tepat dan saya berharap ia akan berkekalan hingga hujung musim ini," katanya.