Pengendali UiTM FC, Ismail Zakaria, tidak menafikan kekuatan Pulau Pinang selepas hasrat untuk meraih mata penuh tidak kesampaian apabila jaringan hatrik Anselmo Casagrande membuatkan anak buahnya sekadar berpuas hati dengan keputusan seri.

Apa yang diharapkan bekas ketua jurulatih Kuantan FA itu di Shah Alam semalam tidak berlaku tatkala keputusan seri 3-3 memberi laluan sukar buat UiTM untuk berada di kedudukan dua terbaik liga.

Namun, dia optimis anak buahnya mampu bangkit dalam perlawanan seterusnya bagi mengumpul mata dalam misi menempah slot ke Liga Super musim depan.

Bagaimanapun, UiTM bakal beraksi tanpa tonggak utama, Amer Azahar, dalam pertemuan berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) II selepas ini akibat penggantungan susulan dilayangkan kad merah semalam.

"Saya tahu Pulau Pinang diperkuatkan dengan kehadiran penyerang baru, Casagrande, yang bergelar penjaring terbanyak musim lalu bersama Felcra FC. Dia memang bagus. Sebab itu Pulau Pinang semakin meningkat," ujar Ismail.

Bagi ketua jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira Abdul Wahid, dia tidak menyangka mampu berkongsi mata dengan tuan rumah sambil berpuas hati dengan persembahan yang ditonjolkan anak buahnya.

"Saya baru mengambil alih pasukan ini selama dua bulan tetapi gabungan pemain baru dan lama meningkatkan pasukan. Syukur Casagrande telah menemui rentak jaringan dan diharapkan dia terus mempamer prestasi terbaik dalam setiap perlawanan," katanya.