Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) II, Mustaffa Kamal Abd Wahab, mengesahkan pemain import kedua pasukannya hanya akan tiba dua minggu lagi.

Walaupun belum menandatangani sebarang kontrak, Mustaffa Kamal turut memaklumkan sudah mendapat persetujuan secara lisan daripada pemain kelahiran Amerika Syarikat itu.

Mendapat kerakyatan Haiti, pemain terbabit kini beraksi bersama kelab Sheikh Russel KC dalam Liga Bangladesh dan akan ke Kuala Terengganu sebaik sahaja tamat saingan liga di sana.

“Pemain itu juga berpengalaman bermain dalam Major League Soccer (MLS) serta beraksi di posisi tengah. Selepas mendapatkan khidmatnya, tiada lagi penambahan pemain,” ujarnya.

Menyentuh persiapan TFC II, Mustaffa Kamal menyifatkan adunan pemain muda dan berpengalaman diyakini mampu membentuk barisan terbaik menghadapi Liga Perdana 2018.

Menurutnya, persaingan memburu tempat dalam kesebelasan utama cukup tinggi selain memuji kesungguhan penyerang import, Akanni-Sunday Wasiu, menyesuaikan diri dalam pasukan.

“Beraksi dalam Liga Perdana merupakan pengalaman baru, khususnya buat bekas pemain skuad Piala Presiden, dan mereka menunjukkan keinginan untuk disenaraikan.

“Saya menitikberatkan prestasi semasa dan tidak gentar mempertaruhkan pemain muda kerana memang itu matlamat TFC II,” katanya lagi.