Selepas berjaya memastikan empat pemain import tidak disambar pasukan lain, UiTM FC terus memperkasakan pasukan apabila menyambar pertahanan Felda United, Muhd Ilham Yusof dan pemain sayap kanan Perak, Ridzuan Azly Hussham.

Ketua jurulatih UiTM, Wan Mustaffa Wan Ismail, mengambil keputusan untuk mempertaruhkan dua muka baharu ini sebagai kekuatan tambahan menghadapi saingan Piala Malaysia.

Menurutnya, pengalaman Ilham selaku pertahanan tengah amat ditagih untuk bergandingan bersama pemain import, Onorionde Kughebe.

Ridzuan pula mampu beraksi di pertahanan sayap kanan bagi mengisi tempat Nik Syafiq Syazwan Nik Min yang terpaksa diketepikan ekoran kecederaan.

"Ada dua kecederaan jangka panjang, jadi kemasukkan mereka (Ilham dan Ridzuan) pastinya akan membantu pasukan ini, terutama pemain muda yang akan dapat belajar banyak daripada kedua-dua pemain ini yang memiliki pengalaman," jelas Wan Mustaffa.

Sementara itu, Ilham memberi penghargaan kepada pihak UiTM FC kerana memberi peluang kedua buatnya selepas jarang beraksi bersama Felda United.

"Ini satu kesempatan untuk saya tunjukkan yang terbaik.

"Saya sendiri tidak menyangka jurulatih (Wan Mustaffa) akan memanggil saya," kata Ilham.