Berbekalkan tekad mahu keluar daripada zon penyingkiran, UKM FC melakukan perubahan pemain import dengan membawa masuk bekas penyerang MISC-MIFA pada musim lalu, Michael Ijezie, bagi menggantikan Kipson Atuheire yang digugurkan ekoran prestasi tidak memuaskan.

Setelah memberi peluang kepada Atuheire untuk membuktikan kemampuan, jurulatih UKM, Sulaiman Hussin, sudah tidak mampu untuk menunggu terlalu lama.

Bagi mengatasi ketumpulan di bahagian depan, Ijezie menjadi calon terbaik berdasarkan pengalaman beraksi dalam Liga Perdana 2017 dengan MISC-MIFA selepas meledak 10 gol dalam 13 penampilan pada musim lalu, sekali gus dijangka mampu menghadirkan igauan ngeri kepada pertahanan lawan.

"Selepas berbincang dengan barisan kejurulatihan, kami harus melakukan sedikit perubahan dan paling hampir dengan UKM adalah Ijezie. Dia juga sudah serasi dengan pemain-pemain kami.

"Kami sudah mendapatkan tandatangannya menjelang aksi pusingan kedua liga dan diharapkan kehadirannya mampu membantu barisan depan," ujar Sulaiman.

Bagi Ijezie, dia tidak ada sebarang perkara mahu dibuktikan selepas apa yang dipamerkannya bersama MISC-MIFA sebelum ini.

Fokusnya hanya satu dalam baki sembilan perlawanan Liga Perdana, iaitu memastikan UKM FC tidak diturunkan ke Piala FAM, musim depan.

"Kedudukan pasukan tidak begitu baik. Jadi, kami akan cuba mendapatkan mata, itu adalah misinya.

"Permainan di sini lebih mengetengahkan pengawalan bola dan ia membantu penyerang. Kami berdepan perlawanan pada minggu depan, jadi aksi itu menjadi sasaran kami untuk meraih mata," kata Ijezie.