Walaupun masih trauma, penyerang UKM FC, Faiz Hanif Adnan, berjaya mengetepikan perasaannya itu untuk beraksi cemerlang menumbangkan Felcra FC 2-0 kelmarin bagi mengekalkan rekod tanpa kalah sejak bermulanya pusingan kedua Liga Perdana.

Faiz pernah mengalami kecederaan ligamen lutut ketika mewakili Sime Darby dua tahun lalu dan pemain yang mendatangkan kecederaannya ialah pertahanan Felcra, Nizam Abu Bakar, yang ketika itu mewakili PKNS.

Ekoran kecederaan itu, Faiz terpaksa berehat lebih satu musim sebelum menyertai UKM pada 2017.

Menurut Faiz, dia sememangnya sedikit gentar berdepan Nizam, namun jurulatih, Sulaiman Hussin, berjaya menguatkan semangatnya agar menunjukkan kemampuan sebenar.

"Saya bersyukur di atas kemenangan ini. Saya berjaya menangani masalah lama dengan baik dan selepas tamat perlawanan, tiada sebarang masalah kecederaan membelenggu saya," kata Faiz.

Dalam perlawanan itu, Faiz menjaringkan gol pendahuluan buat UKM pada minit kelima selepas bijak menanduk umpanan Syafiq Azri yang merupakan jaringan keempatnya musim ini.

Pemain berusia 22 tahun berkenaan tampak semakin selesa beraksi di posisi sayap kiri bagi membantu Michael Ijezie selaku penyerang utama.

"Sebagai pemain tempatan, kami cuba tidak terlalu bergantung kepada import. Berjaya mengelakkan bolos dalam perlawanan ini membuktikan UKM bukan pasukan belasahan."

Imej: Asiana