Heo Jan-Nyeong kembali ke Kota Kinabalu bagi mengintai peluang kembali bersama Sabah dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Heo, 26, dari Korea Selatan adalah pemain import Sabah sejak musim 2017 tetapi kontraknya tidak disambung selepas tamat pertengahan musim 2018 akibat masalah kecederaan.

Pasukan yang popular dengan jolokan Sabah Rhinos itu mula menguji beberapa pemain import sejak kelmarin.

Setakat ini, selain Heo, empat lagi pemain import yang turut mencuba nasib ialah pertahanan dari Kenya, Kelal Ogal Kaoga, Patrick Elamenji Kanyoka dari England yang boleh bermain di pertahanan atau pertahanan tengah serta dua lagi dari Korea, iaitu penyerang, Lee Hyo Kyun dan pertahanan, Ko Kyungjoon.

Ketua jurulatih, Jelius Ating, ketika dihubungi memberitahu bahawa beberapa calon lain dijangka datang dalam masa terdekat.

"Kami tentunya akan berhati-hati membuat pemilihan pemain import ini bagi memastikan kami dapat yang terbaik buat pasukan.

"Berdasarkan keperluan pasukan, keutamaan pemain import yang kami perlukan sekarang adalah pemain untuk posisi pertahanan, tengah dan penyerang," katanya.

Sabah kini masih memiliki penyerang import dari Serbia, Rodoljub Paunovic, yang masih mempunyai kontrak sehingga pertengahan musim depan.

Sambil itu, Jelius memberitahu bahawa pasukan akan menjalani latihan sehingga penghujung minggu ini sebelum diberi cuti sempena perayaan Krismas.