Henry puas walau menang tipis

Oleh Willie Jude 18 Mei 2019 3121
Henry puas walau menang tipis
Kemenangan 1-0 ke atas UKM FC dalam aksi Liga Perdana di Stadium Bola Sepak Cheras, malam semalam sudah cukup untuk memuaskan hati pengurus Sabah, Henry Soimpon.

Katanya, skuad Tambadau itu terpaksa mengharungi pelbagai rintangan sebelum memenangi perlawanan berkenaan, termasuk sepakan penalti lawan dan perlawanan yang tertangguh lebih sejam berikutan masalah lampu limpah.

"Ia bukan kemenangan mudah. Kami terselamat daripada dibolosi menerusi sepakan penalti lawan dan permainan juga terganggu lebih sejam selepas lampu limpah terpadam pada penghujung separuh masa pertama sebelum diteruskan semula sehingga lewat malam," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam aksi malam semalam, gol tunggal daripada penyerang import baru Sabah, Aguinaldo Mendes Veiga, pada minit ke-49 sudah cukup untuk memastikan pasukan itu membawa pulang tiga mata dari laman lawan.

Perlawanan itu juga menyaksikan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim, bertindak cemerlang dengan menepis keluar sepakan penalti Michael Ijezie pada minit kesembilan.

Sementara itu, Henry berkata penampilan pertama dua pemain import baru paasukannya, Mendes dan Ahmet Atayev, tidak mengecewakan, namun berharap kedua-dua pemain itu akan terus memberikan sumbangan besar dalam perlawanan yang akan datang.

"Pujian juga perlu diberikan kepada kesemua pemain kerana bekerja keras di atas padang sehingga membolehkan kemenangan kami," katanya. 

Dua pemain import baru itu disifatkannya sebagai senjata baru Tambadau dan penampilan pertama mereka tidak mengecewakannya.

"Ini baru perlawanan pertama mereka. Saya gembira dengan komitmen yang ditunjukkan tetapi saya percaya mereka masih boleh memberikan sumbangan lebih besar kepada pasukan dalam perlawanan yang akan datang," tambahnya.

Kemenangan itu menyaksikan Tambadau merampas semula kedudukan kedua liga daripada UiTM FC selepas mengumpulkan 24 mata daripada 12 perlawanan.

Bagaimanapun, UiTM FC, yang kini mengumpul 23 mata masih boleh memintas Sabah sekiranya menewaskan Sarawak, malam ini.

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen