SABAH 0 PULAU PINANG 0

Harapan Sabah untuk merebut slot ke Liga Super semakin tertutup apabila hanya mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan Pulau Pinang dalam aksi Liga Perdana di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam ini.

Sabah lebih dulu memiliki peluang pada minit ke-19, namun percubaan Maxsius Musa hasil hantaran sepakan percuma Sabri Sahar sedikit tersasar.

Pada minit ke-25, Hector Omar Ramos hampir meletakkan tuan rumah di hadapan, bagaimanapun percubaannya yang hanya berdepan penjaga gol juga tidak menepati sasaran.

Sabah kemudian terus garang memburu jaringan dan memiliki dua lagi peluang menerusi Rodoljub Paunovic pada minit ke-27 dan ke-35, namun kedua-duanya diselamatkan penjaga gol, Amirul Asyraf Mohd Suhaidi.

Pulau Pinang yang sekali sekala melakukan serangan turut memiliki peluang terbaik mereka pada minit ke-41 menerusi Chidi Edeh, namun rembatannya berjaya diselamatkan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim, manakala rembatan susulannya selepas itu pula terkena palang dan kedudukan 0-0 itu kekal sehingga tamat babak pertama.

Bermula babak kedua, Pulau Pinang lebih dulu memiliki peluang menerusi tandukan Sanna Nyassi namun ia sedikit melepasi tiang sebelah kanan pintu gol Sabah.

Pada minit ke-64, Maxsius mendapat peluang baik apabila hanya berdepan penjaga gol, bagaimanapun rembatannya berjaya ditepis penjaga gol lawan.

Dua minit kemudian, giliran pelawat pula mencemaskan pintu gol tuan rumah, namun cubaan Mohd Fittri Shahzwan Raduwan yang hanya berdepan Rozaimie tidak menepati sasaran.

Pada minit ke-64, Amirul terus menjadi penghalang Sabah untuk mendapatkan gol apabila bertindak cemerlang menepis rembatan Sabri.

Kedudukan 0-0 itu kemudian kekal sehingga pengadil perlawanan, Mohd Azriel Baharudin, meniupkan wisel penamat.

Keputusan lain:

FELCRA 1 JDT II 2

PDRM 1 UITM 2