Hanya pemain yang benar-benar bersedia akan diturunkan pengendali Sabah, Jelius Ating, apabila mereka berkunjung ke Stadium Pasir Gudang bertemu Johor Darul Ta'zim II (JDT II), malam ini.

Ini termasuk dua pemain import dari Korea Selatan, Heo Jaenyong dan Lee Gil Hoon, yang akan tamat kontrak pada penghujung bulan ini dan kini masih dalam pertimbangan sama ada dilanjutkan atau tidak.

"Kesebelasan hanya untuk pemain yang benar-benar bersedia. Sebab itu saya mahu lihat keadaan pemain sebelum memutuskan kesebelasan utama.

"Mengenai Jaenyong dan Lee (Gil Hoon), jika mereka menunjukkan komitmen, saya akan turunkan dan saya juga harap fokus mereka tidak akan terganggu oleh kerana kontrak mereka akan tamat hujung bulan ini," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, semalam.

Sementara itu, Jelius berharap mereka akan memulakan saingan pusingan kedua liga dengan langkah kanan.

"Kalau tidak menang pun sekurang-kurangnya dapat bawa balik satu mata. Bagaimanapun, fokus kami adalah untuk dapatkan mata penuh.

"Kami telah buat persediaan dan akan cuba yang terbaik. Saya fikir perlawanan ini tiada kena-mengena dengan kedudukan kedua-dua pasukan. Kami perlu berada di tahap terbaik walaupun JDT II di tangga tercorot kerana pertemuan dalam pusingan pertama membuktikan bahawa JDT II bukan pasukan lawan yang mudah," katanya.

Sabah sebelum ini menamatkan 10 perlawanan pusingan pertama di tangga keempat dengan 14 mata hasil tiga kemenangan, lima seri dan dua kekalahan.

JDT II pula di tangga tercorot dengan tujuh mata (satu menang, empat seri dan lima kalah).