Setiausaha Agung, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, menyambut baik pertembungan satu lawan satu dengan bekas presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, bagi pemilihan presiden FAM yang baru dengan mengharapkan ia diadakan secara sihat demi bola sepak negara.

Hamidin dan Annuar disahkan secara rasmi sebagai calon untuk merebut kerusi panas presiden FAM selepas berakhir tempoh pencalonan Khamis lalu.

Ia bagi menggantikan Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang meletak jawatan pada 25 Mac lalu selepas genap setahun baginda menerajui badan induk itu.

Ketika situasi itu menghangatkan suasana pemilihan, ada pihak menggesa agar Annuar menarik diri bagi memastikan pemilihan dan peralihan kepimpinan berjalan lancar.

Namun, Hamidin menyuarakan pandangan sebaliknya dengan menegaskan Annuar berhak untuk bertanding bagi merebut jawatan itu.

"Sebagai proses demokarasi di dalam FAM, beliau berhak untuk bertanding. Sama ada beliau nak bertanding atau menarik diri, biar beliau yang membuat keputusan.

"Biar kita dalam suasana yang tertib untuk bertanding, biarlah perwakilan yang menentukan," kata Hamidin ketika ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini selepas mengetuai delegasi FAM ke Moscow, Russia, untuk kongres Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ke-68 baru-baru ini.

Hamidin mendapat 18 daripada 20 pencalonan manakala Annuar hanya satu pencalonan.

Mana-mana di antara dua calon ini boleh membuat keputusan untuk menarik diri daripada bertanding sebelum berlangsung kongres itu.

"Siapa yang terpilih sebagai presiden nanti akan menggalas tanggungjawab besar untuk membawa bola sepak Malaysia ke tahap yang lebih baik daripada sekarang.

"Itu yang mustahak ketika ini. Ini bukan pemilihan untuk membandingkan sesiapa, sebaliknya untuk memikul amanah yang kami terima," katanya.

Sementara itu, Hamidin mengesahkan skuad negara akan berdepan Maldives di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 November depan.

Perlawanan itu bakal melengkapkan enam aksi persahabatan antarabangsa skuad negara sebagai persediaan ke Piala Suzuki AFF 2018.

"Saya mendapat pengesahan perlawanan ini semasa di Moscow, kami akan berjumpa Malvides pada 3 November ini.

"Kami akan mengesahkannya secara hitam putih dalam masa terdekat.

"Jadi, skuad kebangsaan akan menghadapi enam perlawanan persahabatan.

"Ia merupakan perlawanan-perlawanang yang bagus dengan pasukan lawan tidaklah terlalu kuat atau lemah," katanya lagi.

Ia juga akan menjadi ujian terakhir skuad bimbingan Tan Cheng Hoe sebelum ke Phnom Penh bagi aksi sulung bertemu Kemboja pada 8 November.