Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada, yakin dapat mencari lebih ramai pemain yang memiliki bakat besar seperti Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak dalam Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun (B-12) Piala Global Yakult Zon Timur di Padang Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu, yang berakhir petang semalam.

Beliau percaya Hadi Fayyadh yang menjadi kebanggaan negara apabila ditawarkan kontrak selama setahun untuk beraksi bersama kelab Liga Bola Sepak Profesional Jepun (Liga-J) Divisyen 2, Fagiano Okayama, boleh dilahirkan lagi melalui penganjuran kejohanan sebegini.

"Tahniah kepada penganjur yang berjaya menganjurkan kejohanan B-12 ini dan kami akan berjumpa lagi dalam pusingan akhir di padang Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, 27 Julai ini.

"Anda (media) boleh lihat keghairahan dan potensi besar yang dimiliki pemain cilik dalam kejohanan kali ini. Mereka cukup bersedia jika diberi peluang.

"Sebagai penaja utama, saya percaya Piala Global Yakult ini mampu melahirkan lebih ramai 'Hadi Fayyadh' yang berjiwa besar dan memiliki keazaman untuk beraksi dalam Liga Jepun pada satu hari kelak," katanya.

Hamada juga yakin komitmen berterusan Yakult (M) melalui penganjuran pelbagai kejohanan peringkat umur mampu menyokong hasrat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang telah melancarkan DNA Bola Sepak Malaysia baru-baru ini.

"Ya, ini sebahagian daripada komitmen kami untuk menyuburkan program pembangunan bakat mengikut cara Malaysia. Kami juga sentiasa memaklumkan kepada FAM sebarang penganjuran yang diadakan.

"Setakat ini, kami menganjurkan kejohanan khusus untuk pemain B-12 dalam Kejohanan Piala Global Yakult meliputi zon utara, selatan, timur dan tengah.

"Bagi perancangan akan datang, kami berharap dapat menganjurkan kejohanan Piala Global AntarabangsaYakult yang tentunya memberi peluang kepada pemain muda (pelbagai kategori) di peringkat umur lapan tahun ke bawah, 10 dan 12 tahun untuk menikmati pengalaman bermain dengan rakan sebaya mereka di Jepun nanti," katanya.

Untuk rekod, dalam edisi Piala Global Yakult Zon Timur kali ini, skuad Dream Team dari Akademi Tunas Kuantan, Pahang, muncul juara apabila mengalahkan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kelantan (MSSK) 3-0.

Namun, empat pasukan terbaik Zon Timur (yang layak ke separuh akhir) akan beraksi sekali lagi dalam pusingan akhir Piala Global Yakult di MSN.

Pemenang di Bukit Jalil pula berpeluang menguji kehebatan dalam Kejohanan Piala Global di Osaka, Jepun, 14 September depan.