Pemain tengah Kelantan, Mohamad Hakimi Abdullah, terkilan gagal memberikan kemenangan pertama kepada The Red Warriors (TRW) di sebalik penampilan sulungnya apabila kalah 1-0 kepada Selangor United di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, petang kelmarin.

Hakimi, yang dimasukkan pada minit ke-70 menggantikan Danial Haqim Draman, bergandingan baik dengan pemain import, Flavio Beck Junior, dan Nik Akif Syahiran Nik Mat melancarkan serangan mencari gol penyamaan.

"Mungkin bukan rezeki kami untuk bawa balik mata dari Selayang. Kami telah berusaha gigih untuk mencari gol penyamaan, malangnya benteng pertahanan dan penjaga gol mereka kental menyerap asakan.

"Kami terima kekalahan itu dan mahu bangkit semula menentang Sabah di gelanggang sendiri, Jumaat ini," katanya.

Hakimi, yang juga kapten skuad Piala Belia Kelantan musim lalu, mengakui 20 minit yang diberikan pengendali TRW, Marko Kraljevic, cukup bermakna dan berharap terus diberikan peluang untuk beraksi.

"Cukup teruja apabila diberi peluang oleh jurulatih (Kraljevic) untuk beraksi dan saya berjanji akan melakukan yang terbaik untuk pasukan.

"Kami mahu mencari kemenangan pertama untuk Kraljevic dan menghadiahkan tiga mata kepada penyokong setia."

Kredit Foto: Kelantan FA