Dua pemain pinjaman PKNP FC, Hafiz Ramdan dan Mohd Raffi Nagoorni daripada pasukan senior Perak, berazam mempamerkan bakat terbaik untuk majikan baru mereka dalam saingan Liga Perdana dan Piala Malaysia.

Pemain yang lebih dikenali sebagai Ustaz (Raffi) dan Kancil (Hafiz) dikalangan penyokong The Bos Gaurus mahu membuktikan kedatangan mereka dapat memberi impak positif kepada PKNP.

Raffi berkata, "inilah peluang untuk kami kembali ke padang tetapi yang pasti, kami berdua mestilah menunjukkan kesungguhan dan keserasian tinggi bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama PKNP.

Apa yang menariknya disini (PKNP), suasana harmoni antara pengurusan, jurulatih, pemain tempatan dan import dapat dirasakan" jelas Raffi.

Sementara itu bagi Hafiz pula, beraksi dengan kelab Liga Perdana ini bukan masalah kerana PKNP berada di dalam kelas tersendiri.

"Pemainnya muda dan bertenaga serta mempunyai azam tinggi. Dibantu pula oleh pemain import yang berkualiti. Saya lihat PKNP ini cukup sifat serta mampan.

"Diharap pengalaman kami semasa beraksi di Liga Super dapat dikongsi sesama rakan. Mana tahu ada rezeki, PKNP ke Liga Super tahun hadapan", kata Hafiz yakin.

Hafiz dan Raffi dipinjamkan ke PKNP sehingga Disember.