Jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin, menganggap kemenangan manis 2-0 ke atas Felcra FC malam tadi sebagai hadiah Syawal paling bermakna sambil mengingatkan kepada barisan pemainnya bahawa perjuangan sebenar pasukan itu untuk kekal di pentas Liga Perdana belum selesai.

Menurut Sulaiman, cabaran yang diberikan sebelum perlawanan nyata disahut pemain-pemainnya yang memperagakan salah satu aksi terbaik mereka musim ini.

Tambah menarik, UKM bukan sahaja mencalarkan rekod bersih Felcra selepas 12 perlawanan, malah muncul pasukan pertama menggagalkan Felcra daripada menyumbat gol musim ini.

"Semasa latihan semalam dan taklimat tadi, saya berpesan kepada pemain supaya menjadikan malam ini (tadi) istimewa.

"Saya tidak kata pun kami perlu kalahkan Felda, mereka pun faham.

"Malam istimewa membawa maksud kemenangan dan dah dekat nak hari raya, mereka ingin bercuti.

"Jadi, saya menuntut mereka agar mendapatkan keputusan baik, kemudian barulah saya boleh mempertimbangkan untuk memberi cuti tambahan hari raya.

"Alhamdulillah, pemain menunjukkan semangat yang tinggi," kata Sulaiman.

Sementara itu, pertahanan UKM, Mohd Hafizudin Sulaiman, yang mengambil alih tempat tonggak import, Waheed Akanni Oseni, puas kerana dapat mengikat penyerang Felcra, Anselmo Arruda Da Silva.

Biarpun faktor fizikal memihak kepada Anselmo, itu bukan halangan kepadanya dan Aliff Jamaluddin untuk merantai penyerang dari Brazil itu daripada menyumbat gol.

"Kami berlatih sepanjang minggu ini untuk menyekat situasi bola mati dan daripada melakukan kekasaran di luar kotak penalti.

"Kami dapat meminimumkan kelebihan mereka dalam situasi bola mati," kata Hafizuddin.

Dua gol kemenangan UKM dalam perlawanan itu dijaringkan Faiz Hanif Adnan pada minit kelima sebelum Michael Ijezie menggandakan kelebihan pada minit ke-39.

Sementara itu, jurulatih Felcra, Tarcisio Pugliese, tidak terlalu kesal di sebalik kekalahan itu kerana menganggap UKM berhak muncul pemenang.

Malah, dia tidak mahu menyalahkan penjaga gol, Fadzley Rahim, yang melakukan kesilapan di sebalik jaringan kedua UKM, sekali gus menyukarkan pasukan Felcra untuk bangkit dalam babak kedua.

Dia juga optimis peluang Felcra untuk menghuni tangga kedua Liga Perdana masih terbuka di sebalik kekalahan itu kerana mereka kekurangan satu perlawanan berbanding pencabar terdekat, MISC-MIFA dan PDRM FA.