Bekas penyerang negara, Abdul Hadi Yahya, mengakui pengalaman tidak dibayar gaji oleh pasukannya sebelum ini tidak melunturkan semangatnya untuk beraksi apabila mahu membuat kebangkitan semula bersama Selangor United musim ini.

Hadi terpaksa melalui pengalaman memeritkan musim lalu apabila tidak dibayar gaji selama lima bulan oleh Kuantan FA.

Malah, tunggakan gaji Hadi yang berjumlah RM50,000 itu masih belum dijelaskan pasukan berkenaan sehingga kini.

Situasi itu menyebabkan ada pemain yang sudah menggantung but, sebaliknya Hadi belum berputus asa untuk mengerah kudratnya dalam liga tempatan.

"Semua pemain mengharapkan gaji bagi menampung keluarga.

"Kami meneruskan karier sebagai pemain bola sepak sebab minat.

"Dari muda lagi kami bermain, sebab itulah kami tidak putus harapan untuk terus beraksi," ujarnya dalam majlis pengenalan pemain Selangor United di ibu kota, semalam.

Pemenang Kasut Emas Liga Super 2011 tersebut antara pemain berpengalaman yang menyertai Selangor United selaku pendatang baru Liga Perdana.

Selangor United turut diperkuatkan bekas penyerang import Melaka United, Sergio Aguero dari Argentina, dengan skuad kendalian Talib Sulaiman itu diletakkan sasaran untuk layak ke saingan Piala Malaysia musim ini.

"Saya yakin mereka akan menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dengan daya saing yang begitu hebat untuk Selangor United beraksi dalam Liga Perdana 2019," kata Talib.