SELANGOR UNITED 3 SARAWAK 2

Gol dalam waktu kecederaan daripada Raslam Khan Abdul Rashid membolehkan Selangor United melakar kemenangan kedua musim ini susulan kejayaan menundukkan Sarawak 3-2 dalam aksi Liga Perdana yang dramatik di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, petang tadi.


Beraksi di laman sendiri, Selangor United yang dibimbing Talib Sulaiman itu hanya memerlukan tempoh enam minit untuk berada di depan selepas Fabian Ezequiel menanduk masuk bola hantaran Raslam Khan.

Namun, kedudukan 1-0 hanya bertahan selama lapan minit apabila Hudson Dias De Jesus menyamakan kedudukan buat pelawat sebelum Abdul Hadi Yahya kembali meletakkan tuan rumah di depan menerusi sepakan penalti dalam babak kedua.

Jaringan pada minit ke-87 daripada penggempur utama, Bobby Gonzales, memberikan harapan satu mata mampu diraih Sarawak di Selayang, namun Raslam Khan muncul watak pemusnah apabila sepakan percuma kaki kirinya menerjah jaring ketika permainan memasuki waktu kecederaan.

Kemenangan itu meletakkan Selangor United kini menghuni tangga keempat liga dengan enam mata sambil Sarawak di tangga ketujuh berbekalkan tiga mata.

"Kami beraksi di laman sendiri dan tiga mata adalah perkara wajib. Sekarang kami sudah mengutip enam mata, jadi Selangor United berada di landasan terbaik dalam Liga Perdana," ujar Talib.

"Kalau dilihat dalam 15 minit terakhir, kami banyak melakukan serangan dan akhirnya meraih satu gol. Bayangan satu mata sudah ada tetapi akibat daripada kekasaran di luar kotak penalti di saat-saat akhir, lawan meraih gol," kata pengendali Sarawak, Farhan Abdullah.