Pemain skuad Perlis, Azmi Muslim, mengakui dia kini menjadi mangsa keadaan kerana masih tercari-cari pasukan selepas Singa Utara sah tiada lagi dalam senarai pasukan Liga Perdana musim ini.

"Kecewa dan terkilan," hanya itu yang mampu diluahkan Azmi sebaik mendapat berita pengesahan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) semalam.

Tertipu dengan janji manis Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie, Azmi terus dirundung malang apabila dia masih tiada pasukan untuk disertai musim ini.

"Secara terus terang, sejak pertama kali menyertai Perlis, saya tidak mendapat satu sen daripada pasukan ini. Saya sangat kecewa dan tertipu dengan apa yang cuba dilakukan oleh presiden," kata Azmi.

"Peluang untuk saya mendapatkan pasukan makin sukar apabila rata-rata memiliki skuad yang penuh bagi menghadapi musim ini," ujarnya.

Tempoh 30 hari yang telah diberikan MFL berkuatkuasa semalam bukan jaminan sebenar memandangkan kebanyakan pasukan sudah memiliki barisan pemain secukupnya.

Azmi mengakui tiada sebarang khabar dariapda Amizal sebaik pengesahan dilakukan MFL semalam, yang disifatkan Azmi sebagai bersikap lepas tangan dan tidak bertanggungjawab.

"Saya tidak menjangka individu ini boleh wujud dalam arena bola sepak dan menggunakan nama pasukan Perlis, sekali gus mengganggu nasib pemain-pemain."