Penyerang Perlis, Safee Sali, hanya menunggu lampu hijau untuk menyertai Kelantan setelah hampir pasti meleraikan ikatan bersama skuad Singa Utara susulan isu gaji tertunggak.

Safee mencetuskan sensasi selepas gambarnya bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan Red Warriors (KRW), Fazli Mohamad, tular di media sosial.

Dikaitkan dengan perpindahan ke Kelantan, Safee kini menunggu tawaran rasmi pasukan berkenaan sama ada bersetuju atau sebaliknya mengenai soal kontrak.

Bagaimanapun, Safee ketika ditemui selepas latihan skuad Perlis semalam enggan memberi komen lanjut mengenai perkara itu.

"Itu mungkin satu perjumpaan minum kopi kerana semalam adalah hari cuti dan saya tidak ada sesi latihan, jadi saya dapat bertemu individu tersebut," kata Safee.

Bagaimanapun, difahamkan perlawanan menentang UiTM FC esok bakal menjadi perlawanan terakhir Safee dan rakan-rakan seandainya gaji yang dituntut sejak Disember lalu masih belum dilangsaikan.

Selain Safee, penjaga gol, Shahril Saari, pemain sayap, Khyril Muhaimeen Zambri, dan pertahanan, Nasriq Baharom, turut dijangka angkat kaki.

"Macam-macam gambar saya boleh keluarkan dan itu hanya sekadar gambar. Orang ramai boleh katakan apa sahaja.

"Untuk tahu sebarang perkembangan, saya akan cakap melalui media semasa. Apa yang penting, saya ingin fokus bersama Perlis dan menghormati kontrak yang telah ditandatangani," tambah Safee.