Pengendali Sang Badak, Jelius Ating, gembira kerana anak buahnya mampu melaksanakan tugas dengan baik sehingga membolehkan mereka mencatat kemenangan besar ke atas Perlis di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi.

Katanya, formasi baharu 3-5-2 yang digunakan dalam perlawanan itu ternyata membuahkan hasil, terutama di bahagian serangan, apabila berjaya meledak lima gol.

"Memang ia (formasi 3-5-2) kali pertama kami gunakan malam tadi. Namun, apa yang saya lihat bahagian serangan lebih berkesan, kami banyak menguasai bola di bahagian tengah dan ia sekali gus memudahkan tugas dua penyerang di atas.

"Bagaimanapun, masih ada ruang yang perlu diperbaiki sekiranya kami mahu terus menggunakan formasi ini, terutama apabila bertahan.

"Dua pemain di posisi sayap tengah perlu lebih kerja keras kerana mereka perlu naik ke atas apabila kami melakukan serangan dan begitu juga sebaliknya, mereka perlu turun ke bawah untuk bertahan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelius berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan pretasi yang ditunjukkan pemainnya walaupun sebenarnya tidak memiliki banyak pilihan pemain ketika ini.

"Sebelum perlawanan malam tadi, kami hanya ada 18 pemain yang boleh beraksi dan ia termasuk tiga penjaga gol. Saya juga terpaksa menyenaraikan dua pemain daripada skuad Piala Presiden dan Piala Belia.

"Selain itu, kami juga bakal kehilangan pemain tengah, Azzizan Nordin, yang mengalami kecederaan lutut dalam aksi malam tadi," katanya.

Dalam aksi malam tadi, Sabah menang bergaya 5-1 ke atas Singa Utara hasil jaringan hatrik Lee Gil Hoon dan dua gol Rodiljub Paunovic.

Perlis pula mendapat gol sagu hati hasil jaringan ketua pasukan mereka, Makeche Ndumba.

Kemenangan malam tadi juga mengekalkan rekod tanpa kalah skuad kendalian Jelius itu untuk lima aksi liga berturut-turut.