Ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, mengingatkan benteng pertahanannya supaya sentiasa fokus dan tidak melepaskan gol awal ketika menghadapi Terengganu FC (TFC) II dalam saingan Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam esok.

Ingatan itu sentiasa diulang memandangkan dalam dua aksi terakhir menentang Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, Kelantan melepaskan gol awal yang menyebabkan mereka tertekan dan gagal bangkit memberi saingan.

"Saya hormati TFC II kerana rekod mereka cukup baik. Mereka adalah antara pasukan yang kurang dibolosi dan tidak banyak menghasilkan jaringan. Mereka juga lebih stabil berbanding Kelantan.

"Jadi, saya mahu pemain lebih berhati-hati, terutama dalam tempoh 15 minit pertama, dan tidak beri ruang kepada TFC II menjaringkan gol awal kerana ia boleh membunuh perjuangan kami," katanya.

Yusri yang juga bekas pengendali Kuala Lumpur gembira dengan kehadiran semula kapten, Cassio de Jesus, dalam kesebelasan utama The Red Warriors (TRW) dan berharap pemain kelahiran Brazil itu dapat memberikan aksi terbaik.

"Memang sudah lama saya tunggu Jesus untuk kembali beraksi dalam kesebelasan utama dan saya harap kepulangan dia dapat membantu jentera pertahanan berfungsi lebih baik selepas ini.

"Apa pun, saya harapkan mata dalam kunjungan ke Kuala Terengganu walaupun sedar tidak ramai yang berikan harapan kepada kami. Saya juga percaya pemain mampu menunjukkan kebolehan mereka untuk tidak tewas di sana dan itu lebih mustahak," ujarnya.

Ditanya pemain lawan yang perlu diberi perhatian, Yusri menamakan dua awang import, Akanni Sunday Wasiu dan Bruno Suzuki, yang mampu membuatkan TRW berputih mata.

"Kedua-dua pemain ini amat bahaya, mereka bijak menghidu dan memanfaat peluang terhidang," katanya.

Untuk rekod, selepas mengharungi 13 perlawanan, Kelantan terus berada di dasar Liga Perdana dengan mengumpul lapan mata manakala TFC II di tangga keempat dengan 22 mata.